KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan mula dikreditkan kepada penerima melalui MyKad masing-masing hari ini.
Kementerian Kewangan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sejumlah RM100 bantuan SARA bulanan akan dikreditkan kepada isi rumah yang menerima manfaat Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Penerima STR bagi kategori warga emas dan bujang pula masing-masing akan menerima sebanyak RM50 sebulan.
Menurut kementerian, bagi penerima STR dan eKasih pula, isi rumah akan menerima RM200 bantuan SARA setiap bulan, selain RM150 untuk warga emas dan RM100 kepada golongan bujang.
Jelasnya, sebanyak 15 kategori barangan telah diluluskan bagi pembelian menggunakan SARA merangkumi lebih 140,000 pilihan barangan asas antaranya beras, telur, roti, minyak masak, biskut, mi, tepung, produk penjagaan diri, ubat-ubatan di kaunter, makanan sejuk beku serta keperluan sekolah.
Tambah kementerian, bantuan SARA itu boleh digunakan di lebih 14,700 pasar raya dan kedai runcit yang terpilih di seluruh negara.-MalayaDailyToday




























































