KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, pagi tadi.
Media melaporkan Tun Dr. Mahathir tiba di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya kira-kira pukul 11.05 pagi ditemani ahli keluarganya dan meninggalkan pusara Allahyarham 15 minit kemudian.
Beliau kelihatan sedih dan mengalirkan air mata ketika membaca doa di pusara isterinya sambil menaburkan bunga mawar.
Dilaporkan, Tun Dr. Mahathir dalam perjalanan pulang dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediamannya di Seri Kembangan selepas dimasukkan kelmarin bagi tujuan pemerhatian kesihatan.
Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff berkata, Tun Dr. Mahathir keletihan disebabkan tidak cukup tidur selepas pemergian Tun Dr. Siti Hasmah.
Tun Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada pukul 9.20 pagi Isnin lalu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara.
Bekas Wanita Pertama itu dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan berkahwin dengan Tun Dr. Mahathir pada 5 Ogos 1956.
Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata, tiga perempuan dan empat lelaki.
Allahyarham merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum memainkan peranan penting menerusi pelbagai kegiatan kemasyarakatan, khususnya berkaitan kesihatan serta kebajikan. -MalayaDailyToday



























































