TEL AVIV – Penumpang sebuah pesawat flydubai selamat tiba di Israel semalam selepas para penumpang dan anak kapal menggagalkan cubaan pembantu juruterbang untuk menjatuhkan pesawat yang dalam perjalanan dari Dubai ke Tel Aviv.
Media antarabangsa melaporkan pergelutan itu bermula selepas pembantu juruterbang bertindak menikam juruterbang dan menyebabkan pesawat menjunam hampir 4,672 meter dalam tempoh kurang 30 saat.
Menurut pegawai Israel, ketika kejadian, penumpang dan anak kapal memasuki kokpit dan menundukkan pembantu juruterbang berkenaan sekali gus membolehkan dua juruterbang lain yang kebetulan berada dalam pesawat sebagai penumpang mengambil alih kawalan serta membantu mendaratkan pesawat dengan selamat di Lapangan Terbang Tabuk, Arab Saudi.
Lebih 10 jam kemudian, penumpang tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv dengan menaiki pesawat gantian flydubai.
Beberapa penumpang menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban dan menceritakan detik cemas ketika mereka bergelut untuk mengelakkan malapetaka lebih besar.
Pegawai Israel memaklumkan motif penyerang dalam pesawat FZ1073 dari Dubai ke Tel Aviv masih dalam siasatan.
Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merangkumi Dubai, menandatangani Perjanjian Abraham pengnormalan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak pada tahun 2020 di Washington.
Insiden itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan global di rantau yang terjejas akibat konflik selama bertahun-tahun, sekali gus mendorong Israel memperketatkan pemeriksaan terhadap juruterbang yang memasuki negara itu.
Dalam pada itu, perkhidmatan ambulans Israel mengesahkan seorang lelaki berusia 51 tahun dibawa ke hospital di Israel untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan ringan pada bahagian atas badannya.
Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan tidak berada dalam keadaan serius.
Sambil menyifatkan insiden itu sebagai `kes keselamatan serius’, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihak berkuasa Arab Saudi akan menyoal siasat pembantu juruterbang berkenaan.
Sementara itu, syarikat penerbangan Flydubai dalam satu kenyataan menjelaskan punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui, dan memberi amaran supaya tidak membuat spekulasi.
Seorang pegawai Israel mengenal pasti pembantu juruterbang itu sebagai warganegara Oman.
Setakat ini, pihak berkuasa Oman masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu.
Pegawai Israel memuji keberaniaan para penumpang yang berjaya mengelakkan malapetaka besar berlaku.
Netanyahu mengesahkan terdapat 174 penumpang dalam penerbangan dari Dubai itu dengan kebanyakannya warga Israel.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau berbincang secara panjang lebar dengan Netanyahu mengenai kejadian itu.
Beliau kemudian memberikan gambaran terperinci kepada wartawan di Pejabat Oval mengenai apa yang berlaku, sambil berkata maklumat itu hasil apa didengarnya tanpa mengetahui kesahihannya daripada Netanyahu.
Jurucakap Netanyahu memberitahu Reuters, kapten yang cedera dikenal pasti sebagai Smit Machchhar, warganegara India, berada dalam keadaan berlumuran darah di lantai ketika dia berjaya menekan butang untuk membuka pintu kokpit.
Menurut jurucakap itu lagi, penumpang yang memasuki kokpit mendapati pembantu juruterbang sedang menghentam panel kawalan pesawat.
Lapangan Terbang Tabuk di Arab Saudi memaklumkan kedua-dua juruterbang dimasukkan ke dalam hospital selepas mengalami kecederaan.
Kes itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan di Israel beberapa minggu sebelum rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya pertama sejak serangan diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023 dengan isu keselamatan Israel menjadi antara perkara utama dalam kempen pilihan raya. -MalayaDailyToday




























































