KUALA LUMPUR – Harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing menurun sebanyak 5 sen seliter bermula esok, manakala harga diesel tanpa subsidi turut mencatat penurunan 15 sen seliter.
Kementerian Kewangan menerusi hantaran dimuat naik di Facebook memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5 seliter berbanding RM4.95 sebelum ini, sementara RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM4.52 seliter daripada RM4.57 seliter.
Bagi diesel tanpa subsidi pula, harga runcit ditetapkan pada RM5.27 seliter berbanding RM5.42 seliter sebelum ini.
Penetapan harga baharu itu berkuat kuasa bagi tempoh 1 Oktober hingga 7 Oktober depan.
Dalam pada itu, harga RON95 bersubsidi menerusi program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel dibawah program BUDI Diesel kekal pada RM2.10 seliter.
Harga petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Menurut kementerian itu, pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis.
Namun begitu, jelas kementerian, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik Harga produk petroleum dalam jangka sederhana.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik Harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” jelas kenyataan.-MalayaDailyToday




























































