WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak cadangan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial dan menghentikan pertempuran di rantau itu dalam tempoh tujuh hari.
Media antarabangsa melaporkan Trump berkata, Teheran berusaha `mahu mencapai perjanjian selepas berdepan tekanan’ akibat konflik yang berlarutan sejak Februari lalu.
“Saya menolak tawaran mereka. Mereka mahu membuat perjanjian dan saya rasa itu tidak mengapa.
“Saya juga suka membuat perjanjian namun perjanjian ditawarkan itu tidak boleh diterima,” katanya.
Trump juga menegaskan AS kini mempunyai `kawalan penuh’ ke atas selat itu dan mendakwa sejumlah besar minyak masih berjaya melalui laluan berkenaan.
Jumaat lalu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberitahu wartawan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bahawa Teheran sudah menyampaikan pelan damainya kepada AS melalui pengantara Qatar.
Katanya, Selat Hormuz boleh dibuka semula dan laluan perkapalan dipulihkan dalam tempoh seminggu sekiranya syarat tertentu dipenuhi.
Menurut beliau, syarat berkenaan telah pun terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada Jun lalu.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, hampir tidak dapat digunakan sepenuhnya sejak tercetusnya perang pada Februari.
Laporan Wall Street Journal memetik pegawai AS sebagai berkata Trump berasa ragu-ragu Iran akan memenuhi tuntutannya dan menjangkakan kempen pengeboman baharu berpotensi berlaku semula.
Iran menutup Selat Hormuz selepas serangan udara AS dan Israel pada akhir Februari, selain melancarkan serangan balas terhadap Israel, pangkalan tentera AS di Teluk dan sekutu Washington di rantau itu.
Penutupan selat berkenaan telah menyebabkan harga tenaga dunia turun naik dengan ketara.
Implikasi ekonomi juga meningkatkan tekanan terhadap Trump untuk mencari jalan bagi menamatkan konflik itu ketika AS bakal menghadapi pilihan raya Kongres pada November depan.
Dalam pada itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Teheran bersedia kembali kepada syarat dipersetujui berdasarkan MoU ditandatangani sebelum ini di Pakistan jika Washington menghormati kandungan MoU berkenaan.
Bagaimanapun, bekas pegawai Majlis Keselamatan Negara AS, Kirsten Fontenrose berkata, tiada kecenderungan untuk memulakan semula perbincangan mengenai MoU tersebut kerana ia dianggap sebagai perjanjian yang tidak menguntungkan AS.
MoU berkenaan bertujuan mewujudkan gencatan senjata dan membuka semula sebahagian laluan Selat Hormuz.
Namun perjanjian itu gagal dicapai selepas kedua-dua pihak kembali melancarkan serangan.
Sementara itu, Araghchi menerusi hantaran di Telegram berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Trump, namun menyatakan Teheran akan menunggu respons rasmi daripada pihak pengantara.-MalayaDailyToday

























































