KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di sekitar ibu negara dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan rebut petir petang tadi.
Menerusi perkongsian warganet di media sosial, media melaporkan antara kawasan terjejas termasuk bandar raya Kuala Lumpur, Taman Tun Dr. Ismail, Segambut, Damansara dan Kajang.
Banjir kilat turut dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor iaitu di Bangi, Bandar Seri Putra, Bukit Mahkota dan laluan menuju ke Nilai 3.
Kejadian itu menyebabkan beberapa jalan raya ditenggelami air sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Video tular di media sosial turut memaparkan kawasan pintu hadapan Universiti Malaya dinaiki air akibat hujan lebat sehingga menyebabkan sekitar terjejas.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kuala Lumpur serta 12 negeri hingga 8 malam ini. -MalayaDailyToday


























































