KUALA LUMPUR – Biro Penyelarasan Orang Awam MCA menyokong sepenuhnya penganjuran himpunan aman bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan `mafia korporat’ serta kempen Hands Off NGO.
Himpunan aman itu dijadualkan berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini, esok.
Pengerusi Biro Penyelarasan Orang Awam MCA, Saw Yee Fung berkata, skandal `mafia korporat’ telah mencetuskan kebimbangan awam, malah turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk di blok kerajaan dan pembangkang.
“Ini kes serius, bukan terpencil dan tidak boleh ‘disapu bawah karpet’.
“Ia bukan sahaja menjejaskan integriti agensi penguatkuasaan negara dan badan antirasuah, malah turut melemahkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap pasaran serta kedaulatan undang-undang di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yee Fung, sejak awal skandal itu tercetus, MCA dan pelbagai pihak lain telah mendesak agar RCI ditubuhkan supaya siasatan secara telus, terperinci dan menyeluruh dapat dijalankan.
Namun, katanya, amat malang apabila kerajaan MADANI bukan sahaja dilihat menutup mata dan memekakkan telinga terhadap desakan berkenaan.
Malah, dakwa beliau, laporan siasatan Jawatankuasa Khas mengenai isu pegangan saham berlebihan yang melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, masih senyap sepi dan belum pernah didedahkan kepada umum sehingga hari ini.
“Adakah ini yang dimaksudkan dengan ketelusan dan akauntabiliti sepertimana dilaung-laungkan oleh parti pemerintah diterajui Pakatan Harapan?
“Sebaliknya kami bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil pula yang lebih berprinsip dalam memperjuangkan politik bersih serta tatakelola baik.
“Keberanian dalam menyuarakan ketidakadilan terhadap kepincangan dan kelemahan dalam sistem negara adalah mekanisme semak dan imbang yang sangat penting serta normal dalam sesebuah masyarakat yang demokrasi,” katanya.
Sehubungan itu, Yee Fung menyeru orang ramai agar bersama-sama memberi tekanan kepada kerajaan untuk melaksanakan tuntutan tersebut.
Kata beliau, MCA terus komited dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap pemerintahan kerajaan.-MalayaDailyToday


























































