ATHENS – Pihak berkuasa maritim Greece melancarkan operasi pemadaman besar-besaran selepas sebuah kapal kargo dilaporkan terbakar di perairan negara itu.
Media antarabangsa melaporkan kapal kargo yang dikenali sebagai Blue Carrier 2 terbakar ketika belayar di utara Pulau Mykonos.
Menurut Pengawal Pantai Greece, kebakaran itu dipercayai tercetus di atas dek kapal yang digunakan untuk membawa muatan trak.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Jelasnya, operasi pemadaman besar-besaran dilaksanakan untuk mengawal kebakaran, selain mengelakkan api merebak ke bahagian lain kapal.
Dilaporkan, kesemua 28 anak kapal serta seorang penumpang yang berada di Blue Carrier 2 berjaya dipindahkan dengan selamat menggunakan bot penyelamat.
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.-MalayaDailyToday


























































