KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Serian kembali merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 215, setakat 10.30 pagi tadi.
Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 10 kawasan di Sarawak dan satu di Melaka mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Kuching mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 195, diikuti Samarahan (188), Bintulu (169), Sri Aman (168), Samalaju (161), Sibu (159), Sarikei (158) dan Mukah (153).
Miri dan Kapit masing-masing merekodkan bacaan 102 manakala Bukit Rambai di Melaka pula mencatatkan 101.
Sementara itu, sebanyak 49 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tujuh kawasan merekodkan bacaan baik.
Bacaan IPU antara sifar sehingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 301 dan ke atas (berbahaya).
Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan semua sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian ditutup sementara bermula hari ini berikutan bacaan IPU yang direkodkan melepasi 201.
Jelas jabatan itu, keputusan itu dibuat membabitkan 108 buah sekolah di daerah berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah.-MalayaDailyToday























































