SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun yang didakwa menjadi dalang sindiket bagi menyelaras operasi pengubahan wang haram di Singapura dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan bersubahat membantu pihak lain mengekalkan hasil kegiatan jenayah.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Chin Hock Khan, yang juga dikenali sebagai `Da Xiang’, turut didakwa menyelaras skim penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan.
Media antarabangsa melaporkan dia didakwa bekerjasama dengan beberapa individu lain antara Mac dan Jun lalu untuk mengumpul wang tunai serta barangan emas daripada individu yang berpangkalan di Singapura.
Barangan berharga itu dipercayai merupakan hasil kegiatan jenayah, namun dokumen mahkamah tidak mendedahkan nilainya.
Mahkamah memerintahkan Chin agar direman di Bahagian Polis Pusat untuk siasatan lanjut dan menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya.
Polis menerusi kenyataan memaklumkan Chin didakwa bertanggungjawab merekrut dan menyelaras rakyat Malaysia lain untuk menjalankan operasi penipuan serta pengubahan wang haram di Singapura.
Siasatan awal mendapati dia dipercayai bertemu sekurang-kurangnya empat ‘runner’ warga Malaysia pada beberapa kesempatan di negara asal mereka.
Chin juga memberikan mereka tugasan, menyelaras pengeluaran wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta mengagihkan pendapatan mereka daripada pekerjaan berkenaan.
Polis menambah, atas arahan Chin, ‘runner’ berkenaan mengambil barangan emas daripada mangsa penipuan dan menyerahkannya kepadanya di Johor Bahru.
Chin dipercayai bertanggungjawab melakukan pengubahan wang haram sekurang-kurangnya S$500,000 hasil penipuan dan kegiatan haram.
Pegawai Unit Siber SPF dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia bekerjasama dalam kes itu.
Pihak berkuasa Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap Chin sebelum dia ditahan di Malaysia pada 22 September.
Dia diserahkan kepada SPF pada hari yang sama.-MalayaDailyToday























































