KUALA LUMPUR – Penduduk di sebuah blok pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh berhampiran bangunan kediaman berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan komander operasi telah mengarahkan supaya penghuni blok A apartmen Damai Perdana mengosong kediaman mereka sebagai langkah keselamatan.
Menurut JBPM Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tanah runtuh berhampiran blok D apartmen Damai Perdana pada pukul 9.03 malam.
Jelasnya, sepasukan lima anggota berserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi lapan minit kemudian mendapati insiden itu membabitkan tebing setinggi 4.57 meter manakala jarak tanah yang menggelongsor ke Kawasan ialah sekitar 0.91 meter.
Hasil pemerhatian mendapati tiada pergerakan tanah dikesan setakat ini, namun aliran air masih berlaku di Kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada kebocoran paip.
“Pemantauan terhadap keadaan tanah dan aliran air sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatan di lokasi kejadian.
“Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa atau kemalangan jiwa,” jelas JBPM Selangor dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dimaklumkan mengenai kejadian itu. -MalayaDailyToday






























































