KOTA BHARU – Lebih 230,000 ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di seluruh negara bakal menikmati potongan harga tiket penerbangan Batik Air Malaysia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memberi manfaat kebajikan terus kepada ahli selain menarik lebih ramai warga pendidik menyertai kesatuan serta membuka ruang kerjasama baharu dengan sektor swasta.
“Dengan bilangan ahli NUTP sebanyak 230,000, ia sebenarnya membuka ruang untuk memberi manfaat kepada ahli dan pada masa sama kepada rakan strategik kita,” katanya selepas majlis penandatanganan MoU berkenaan.
Dokumen perjanjian itu ditandatangani oleh Aminuddin bersama Pengurus Jualan Korporat Batik Air Malaysia, Pravinderjeet Singh yang menawarkan kadar penerbangan istimewa buat ahli NUTP.
Sementara itu, Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Seif Shaquille Shahril berkata, kemudahan yang ditawarkan merangkumi kadar korporat, diskaun penerbangan, potongan harga khusus untuk pelajar, serta tawaran tiket percuma mengikut syarat yang dipersetujui.
Beliau menambah, penawaran kadar khas itu amat penting dalam membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan warga pendidik berikutan cabaran ekonomi semasa dan peningkatan kos bahan api penerbangan. -MalayaDailyToday




























































