KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan kemelut politik yang semakin meruncing antara kerajaan negeri dan institusi diraja.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, perkembangan politik di Negeri Sembilan kini berada pada tahap serius berikutan isu proklamasi yang dikaitkan dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Muhammad Faiz, Amanah mengambil maklum perkembangan apabila Tuanku Muhriz menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan yang dilantik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu kerana memungkiri sumpah.
Katanya, Amanah berpendirian tidak mahu mencampuri kemelut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana perkara itu harus diselesaikan mengikut undang-undang, Perlembagaan dan Adat Negeri Sembilan.
Namun, dakwa beliau, pergolakan politik yang berlaku ketika ini mempunyai kaitan dengan PRN Negeri Sembilan ke-16 yang didakwa diadakan secara mengejut susulan desakan pihak tertentu yang mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada takhta.
“Hal ini diperkukuhkan dengan kewujudan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar sejurus selepas PRN Negeri Sembilan ke-16 iaitu pada 3 Ogos 2026.
“Situasi politik semasa bertambah meruncing apabila Menteri Besar menolak titah tersebut secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook beliau.
Muhammad Faiz turut mendakwa UMNO gagal menghormati kedudukan institusi diraja Melayu apabila mengambil langkah yang menjurus kepada usaha menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Tindakan itu jelas bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan yang mana PRN Negeri Sembilan ke-16 lalu tidak langsung bertujuan untuk mengganggu-gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” dakwanya.
Sehubungan itu, katanya, Amanah mendesak Menteri Besar memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada penyelesaian politik.
Muhammad Faiz berkata, Amanah berpandangan pertembungan antara pihak Eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. -MalayaDailyToday


























































