PARIT – UMNO berharap pihak mahkamah mempertimbangkan kebenaran bagi menggunakan sebahagian aset milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dibekukan untuk melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan ke atas beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan sedang berusaha ke arah itu bagi membolehkan tuntutan denda pengampunan bersyarat berkenaan diselesaikan mengikut saluran perudangan.
“Ya, kita mengharapkan supaya pihak mahkamah juga akan mengambil kira perkara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Pertandingan Debat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Piala Timbalan Perdana Menteri.
Mengulas mengenai perkembangan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan Jumaat lalu, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA memaklumkan bahawa kutipan sumbangan itu dijangka mencecah RM2 juta hari ini.
Beliau menambah bahawa kutipan meningkat antara RM40,000 hingga RM50,000 pada setiap jam hasil sumbangan sukarela ahli parti serta orang ramai tanpa sebarang paksaan.
Langkah mengumpul dana dan memohon pelepasan pembekuan aset itu dibuat susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dengan syarat menjelaskan denda RM50 juta berkenaan. -MalayaDailyToday


























































