SEREMBAN – Sebarang tindakan menamatkan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar merupakan tindakan tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Ismail Lasim menegaskan perkara itu berlandaskan tafsiran menyeluruh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang menetapkan pentadbiran negeri berteraskan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi eksekutif.
“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara baginda,” katanya dalam kenyataan.
Ismail menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberi sebarang nasihat berhubung pemberhentian mana-mana ahli EXCO sedia ada mengikut Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana barisan EXCO sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan memelihara mandat rakyat berlandaskan undang-undang. -MalayaDailyToday





























































