KUALA LUMPUR – Rayani Air Sdn.Bhd (Rayani Air) mengumumkan kemunculan semula syarikat penerbangan itu di bawah pengurusan baharu, yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.
Rayani Air menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya memaklumkan syarikatnya akan memberi tumpuan kepada penerbangan carter haji dan umrah patuh syariah dibawah model perniagaan baharu dikenali sebagai Rayani Air 2.0 HALAL.
“Rayani Air kembali dengan pengurusan baharu sepenuhnya iaitu syarikat 100 peratus milik Bumiputera dan model baharu Rayani 2.0 HALAL yang bukan lagi mengendalikan penerbangan domestik berjadual,” jelas kenyataan itu.
Menurut syarikat penerbangan itu, pihaknya merancang untuk beroperasi menggunakan Airbus A330-300 dengan kapasiti 290 penumpang bagi perkhidmatan Rayani Air 2.0 HALAL, yang dijangka memulakan operasi pada 2027.
Sebelum ini, Rayani Air menggunakan pesawat Boeing 737-400 dengan kapasiti 160 penumpang ketika syarikat penerbangan itu beroperasi pada 2015-2016.
Mengulas lanjut, Rayani Air mengakui memahami kekecewaan yang pernah dialami oleh ramai penumpang semasa operasi syarikat itu pada 2015 dan 2016 di bawah pengurusan lama.
“Isu pembatalan penerbangan dan bayaran balik yang masih belum selesai adalah satu amanah yang amat berat bagi kami.
“Untuk makluman, operasi pada ketika itu adalah di bawah pengurusan lama.
“Sejak penamatan operasi pada 2016, syarikat ini telah melalui proses penstrukturan semula yang panjang,” jelas syarikat itu.
Menurut Rayani Air, pihaknya tidak pernah cuba melarikan diri daripada masa lalunya dan menjelaskan sedang menyemak rekod berkaitan tuntutan bayaran balik tertunggak dengan bantuan penasihat undang-undang bagi menentukan penyelesaian terbaik melalui saluran yang sewajarnya.
“Kami memohon sedikit masa dan doa daripada semua. Yang lama kita jadikan pengajaran. Yang baharu kita bangunkan dengan amanah,” jelas syarikat itu.
Syarikat penerbangan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai kerana masih memberikan peluang kedua kepada Rayani Air.-MalayaDailyToday


























































