ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 31 orang terkorban dan lebih 100 lagi cedera dalam satu serangan bom yang menyasarkan sebuah masjid berhampiran ibu pejabat polis di barat laut Pakistan.
Media antarabangsa melaporkan seramai 16 anggota polis dan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun antara mangsa terbunuh dalam serangan itu.
Pegawai kanan pasukan penyelamat, Bilal Faizi memaklumkan kebanyakan mangsa yang cedera merupakan jemaah.
Dilaporkan, serangan itu berlaku di Kohat yang terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Ketika jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan merempuh pintu masuk sebuah masjid yang terletak dalam kompleks polis.
Ketua polis wilayah itu, Zulfiqar Hameed berkata, selepas letupan, sekurang-kurangnya tujuh lelaki bersenjata cuba memasuki kawasan ibu pejabat polis sebelum berbalas tembakan dengan anggota polis.
Menurutnya, enam daripada lelaki bersenjata itu ditembak mati, manakala seorang pengebom nekad menyerang sebuah pejabat agensi perisikan berhampiran.
Kompleks polis berkenaan menempatkan unit antipengganasan yang menjalankan operasi terhadap kumpulan militan di wilayah tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Namun, polis mengesyaki kumpulan Taliban Pakistan yang dikenali sebagai Tehreek-i-Taliban Pakistan (TPP) melakukan serangan berkenaan.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan tembok luar pejabat polis runtuh manakala masjid tersebut mengalami kerosakan teruk.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom menyasarkan masjid.
Katanya, perbuatan kejam dan keganasan yang menyasarkan orang awam dan tempat ibadat tidak boleh diterima.-MalayaDailyToday






















































