KUALA LUMPUR – “Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan.”
Demikian penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Azalina merujuk kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menegaskan tiada mana-mana individu yang berada di atas undang-undang dan sesiapa sahaja disabitkan dengan kesalahan harus menjalani hukuman mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan tidak wajar disifatkan sebagai tindakan `mengatasi undang-undang’.
Malah, kata beliau, kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang, sebaliknya merupakan kuasa diperuntukkan secara nyata menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
“Maka, tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan sebagai tindakan mengatasi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di Facebook.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
“Prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan, malah tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang,” katanya.
Jelas beliau, keputusan kehakiman dan proses pengampunan adalah perkara yang berbeza yang mana mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.
“Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman, justeru kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya.
Tambah Azalina, setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan.
“Peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Menteri yang berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik.
“Kerajaan sebelum ini sudah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.
Katanya, sebagai Ketua Penerangan UMNO, beliau berpendirian bahawa keputusan mahkamah, Perlembagaan dan proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan haruslah dihormati.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya.
Semalam, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat, turut menekankan bahawa tiada individu diatasi undang-undang dan setiap yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat itu diadakan di tengah-tengah tumpuan politik berhubung isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.
Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64, semalam.-MalayaDailyToday





















































