SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyeragamkan kadar caj kemasukan kenderaan e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kadar RM2 merangkumi Terminal 1 dan Terminal 2 berkuat kuasa 16 September 2026.
Penyeragaman kadar baharu yang merangkumi cukai itu menyaksikan penurunan caj berbanding kadar terdahulu iaitu RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2.
MAHB dalam kenyataan media memaklumkan bahawa langkah berkenaan bertujuan memberikan keselarasan serta kejelasan kepada penumpang dan pemandu e-hailing, selain menyokong kelancaran proses mengambil penumpang di kedua-dua terminal.
Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA, Abd Hasman Abd Muhimin berkata penambahbaikan kemudahan e-hailing berhasrat menjadikan perjalanan dari dan ke lapangan terbang lebih cekap serta teratur.
“Dengan menyediakan ruang menunggu berbumbung yang selesa untuk penumpang dan memberikan tempoh masa yang lebih jelas kepada pemandu, kami melihat tahap mematuhi peraturan yang lebih baik, pusingan kenderaan yang lebih pantas, dan aliran trafik yang bertambah baik,” katanya.
Menerusi naik taraf kemudahan di Terminal 1 yang dimulakan sejak Ogos 2026, sebanyak 99.3 peratus pemandu e-hailing berjaya menyelesaikan urusan mengambil penumpang dan keluar dalam tempoh pelepasan 10 minit yang ditetapkan.
Kapasiti pemprosesan kenderaan pada waktu puncak di Terminal 1 turut meningkat daripada 302 kepada 660 kenderaan sejam, selain jumlah pergerakan kenderaan harian di laluan mengambil penumpang menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 7,024 kenderaan. -MalayaDailyToday






















































