KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan menambah baik subsidi bil elektrik untuk rakyat dengan memperluaskan tahap perlindungan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan subsidi itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember depan.
Jelas beliau, langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam membolehkan langkah itu dilaksanakan segera.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keadaan jerebu dan cuaca lebih panas muktahir ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan isi rumah melepasi paras 600 kWj sekali gus mencetuskan kenaikan bil elektrik yang luar biasa.
Justeru, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa.
Katanya, pemantauan itu bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara.-MalayaDailyToday




















































