JOHOR BAHRU – Ancaman bom dihantar menerusi e-mel yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di The Mall Mid Valley Southkey, Johor Bahru, malam tadi, disahkan palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, perkara itu disahkan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan di pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, polis menerima maklumat daripada pengurusan The Mall Mid Valley Southkey mengenai e-mel ancaman bom itu kira-kira pukul 11.31 malam.
Bertindak atas maklumat tersebut, AB Rahaman berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan digerakkan ke lokasi berkenaan.
Jelas beliau, pemeriksaan keselamatan telah dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan The Mall Mid Valley Southkey dengan kerjasama pasukan keselamatan premis.
“Dalam pemeriksaan tersebut, beberapa objek mencurigakan ditemui dan seterusnya diperiksa oleh pasukan UPB.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek-objek berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan tiada ancaman bom dikesan.
“Kawasan itu kemudiannya telah disahkan selamat sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
AB Rahaman menegaskan Polis Johor mengambil serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan sentiasa memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian perlu dirujuk kepada pihak polis bagi memastikan kesahihan maklumat serta mengelakkan kekeliruaan dalam kalangan rakyat,” katanya.





























































