AYUTTHAYA – Polis Thailand menahan seorang ketua sami sebuah kuil terkenal di Ayutthaya selepas disyaki menyeleweng dana kuil berjumlah 100 juta baht (RM12.2 juta) dan terlibat dalam skandal seks bersama pembantu wanitanya.
Suspek, Phra Vajirayan, 66, yang juga dikenali sebagai Luang Por Chot, ditahan di Wat Phutthaisawan kira-kira jam 6 pagi Khamis berikutan aduan awam berhubung pemindahan dana kuil secara haram.
Pihak polis mengesahkan bahawa bukti siasatan menunjukkan suspek mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran sepanjang tempoh dua tahun bagi melarikan wang berkenaan.
Siasatan turut membongkar pembabitan pembantu wanita suspek, Punyavee Rungrueang, 47, yang ditahan berikutan penemuan aliran keluar masuk kewangan bernilai puluhan juta baht menerusi akaun bank peribadinya setiap tahun.
Polis mendakwa penyelewengan itu turut melibatkan hasil jualan azimat dan barangan keagamaan yang disalurkan melalui sebuah yayasan sebelum dipindahkan ke akaun peribadi.
Selain penyelewengan kewangan, polis memaklumkan bahawa pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman suspek menemukan bukti perlakuan hubungan seks antara bekas ketua sami itu dengan pembantu wanitanya.
Susulan penahanan itu, status keagamaan Phra Vajirayan telah dilucutkan serta-merta dan beliau kini ditahan di bawah nama asalnya, Atichote Thammavaro, untuk tindakan undang-undang lanjut. -MalayaDailyToday































































