PUTRAJAYA – Dasar kerajaan Kedah untuk menghentikan operasi premis perjudian nombor ramalan 4D menerusi tindakan tidak memperbaharui lesen perniagaan tidak dapat dipertahankan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan larangan berkenaan tidak berperlembagaan.
Keputusan itu dibuat selepas panel Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Ia bermakna keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada beberapa pengendali nombor ramalan berlesen kekal dan menjadi keputusan muktamad dalam pertikaian tersebut.
Pertikaian itu tercetus susulan pendirian kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian nombor ramalan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).
Langkah berkenaan menyebabkan operasi premis 4D di negeri itu terhenti walaupun pengendali terbabit mempunyai lesen berkaitan aktiviti perjudian yang dikeluarkan di bawah bidang kuasa Persekutuan.
Beberapa syarikat pengendali kemudiannya membawa perkara itu ke mahkamah dengan mencabar kuasa kerajaan negeri dan PBT untuk mengenakan larangan menyeluruh menerusi mekanisme pelesenan premis perniagaan.
Mahkamah Tinggi pada Julai 2024 memutuskan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian berkenaan sebagai tidak berperlembagaan.
Kerajaan Kedah tidak berpuas hati dengan keputusan itu sebelum membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 pada Disember lalu menolak rayuan kerajaan negeri dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Kes berkenaan antara lain menyentuh persoalan mengenai sempadan bidang kuasa kerajaan negeri serta PBT dalam mengawal lesen premis perniagaan apabila aktiviti berkenaan tertakluk kepada pelesenan di peringkat Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menutup ruang kerajaan Kedah untuk meneruskan cabaran terhadap penghakiman tersebut di mahkamah tertinggi negara. -MalayaDailyToday




























































