KUALA LUMPUR – Seramai 5,953 anggota polis dan pegawai daripada agensi penguat kuasa lain akan digerakkan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan kelancaran proses demokrasi serta menjaga ketenteraman awam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,845 pegawai kanan polis dan anggota pangkat rendah akan bertugas, manakala selebihnya melibatkan anggota daripada pasukan sokongan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Simpanan Sukarela Polis (PVR).
Beliau berkata, polis berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi pelbagai persiapan menyeluruh yang telah dilaksanakan sejak awal, termasuk aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, pemantauan aktiviti kempen, penguatkuasaan undang-undang serta persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Kami mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi menerusi pelbagai persiapan komprehensif yang telah disusun sejak awal bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan selamat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya, penilaian berterusan akan dilakukan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan mendapatkan bantuan tambahan daripada kontinjen lain sekiranya diperlukan bagi memperkukuhkan sumber manusia serta memastikan keberkesanan operasi.
Pada masa sama, beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan semua pihak dapat menjalankan kempen mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan dan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan bagi memastikan semua aktiviti kempen termasuk ceramah politik, perarakan parti dan program berkaitan pilihan raya dapat dilaksanakan secara aman serta mematuhi peraturan pihak berkuasa.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi atau melakukan perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan kelancaran proses demokrasi.
Alzafny turut menyeru parti politik, calon, penyokong dan orang ramai supaya mengamalkan politik yang matang, menghormati perbezaan pandangan dan sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan provokasi, menyebarkan maklumat palsu atau terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai. -MalayaDailyToday




























































