PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak boleh berada di zon selesa ketika negara bersiap menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Berucap menyampaikan amanat kepada warga kementerian hari ini, beliau menegaskan tahun ini bukan tahun biasa dan menuntut komitmen yang lebih tinggi daripada seluruh pasukan.
“Tahun ini bukan tahun biasa. VM2026 menuntut kita bekerja lebih kuat, lebih pantas dan lebih strategik. Cabaran kita besar dan kita tidak boleh berada di zon selesa,” katanya.
Menurut Tiong, usaha memacu sektor pelancongan tidak boleh bersifat bermusim atau terhad kepada satu kempen semata-mata.
“VM2026 adalah pemangkin, tetapi tanggungjawab kita jauh melangkaui 2026. Apa yang kita bina hari ini mesti menjadi asas kukuh untuk pertumbuhan pelancongan yang mampan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa pelancongan budaya sebagai kekuatan strategik negara.

“Warisan, seni, adat resam dan kepelbagaian kaum Malaysia bukan sekadar elemen sokongan, tetapi aset yang membezakan kita di pentas pelancongan global dan mencipta pengalaman bermakna kepada pelawat,” katanya.
Tiong menegaskan promosi Malaysia mesti dilakukan secara lebih agresif, kreatif dan berimpak tinggi.
“Dunia tidak akan mengenali Malaysia jika kita tidak turun padang membawa naratif baharu, memperkenalkan produk baharu dan menampilkan keunikan sebenar negara kita,” katanya.
Beliau juga mahu semua pejabat luar negara, agensi dan jabatan di bawah MOTAC bergerak seiring dengan komunikasi yang jelas serta tindakan pantas.
“Tiada lagi kerja tanpa garis masa, tiada lagi alasan tanpa penyelesaian. Jika ada masalah, bincang. Jika ada halangan, cari jalan keluar bersama,” katanya.
Menurut Tiong, MOTAC adalah wajah Malaysia di mata dunia dan bukan sekadar mengurus, tetapi mempromosikan negara secara menyeluruh.
“Saya percaya jika kita bersatu, berani berubah dan benar-benar komited, Malaysia mampu melangkah lebih jauh,” katanya. -MalayaDailyToday

































































