BONGAWAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Tan Sri Anifah Aman menegaskan cadangannya untuk membangunkan Bongawan sebagai hab minyak dan gas baharu Sabah bukan retorik politik.
Sebaliknya satu perancangan jangka panjang yang mempunyai asas kukuh berdasarkan pengalaman serta rekod pencapaiannya sebelum ini.
Beliau berkata, potensi Bongawan sebagai pusat industri tenaga telah lama dikenal pasti, lebih-lebih lagi dengan kewujudan infrastruktur strategik berhampiran seperti Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis iaitu sebuah projek yang pernah beliau rintis ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar Negeri.
Menurutnya, pembangunan hab minyak dan gas mampu membawa limpahan ekonomi besar kepada penduduk setempat, termasuk peluang pekerjaan bergaji tinggi, pertumbuhan perniagaan sokongan, peningkatan hasil negeri dan pemodenan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik serta telekomunikasi.
“Bongawan mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai hab minyak dan gas Sabah, dan ini bukan sekadar cadangan politik. Ia agenda pembangunan yang boleh direalisasikan,” katanya hari ini.

Anifah berkata pengalaman beliau dalam hubungan antarabangsa, perundingan ekonomi dan rangkaian pelabur global membolehkannya membuka pintu kerjasama baharu yang dapat menarik masuk pelaburan strategik ke Bongawan, sekali gus mewujudkan ekosistem industri tenaga yang mapan.
“Kita pernah berjaya membawa SOGT ke Kimanis. Jika Kimanis boleh menjadi pusat pertumbuhan, Bongawan juga mampu mengulangi kejayaan yang sama, malah memberi manfaat lebih besar kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan hab industri itu akan membuka peluang keusahawanan kepada anak tempatan dalam sektor perkhidmatan, logistik, keselamatan industri, penyelenggaraan, penyediaan makanan dan pembersihan.
Selain itu, penubuhan pusat latihan teknikal baharu mampu melahirkan tenaga kerja terlatih dalam bidang berkaitan minyak dan gas.
“Saya mahu pastikan pembangunan ini bukan sekadar harapan kosong. Rakyat Bongawan harus menjadi penerima manfaat utama melalui pekerjaan berkualiti, latihan kemahiran, projek vendor tempatan dan infrastruktur moden,” tambahnya.
Dalam masa sama, Anifah merayu mandat baharu daripada pengundi Bongawan untuk menamatkan agenda pembangunan yang belum dapat diselesaikan sebelum ini.

“Izinkan saya menebus perkara yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Saya tidak mahu meninggalkan legasi yang tergantung.
“Dengan mandat baharu, kita boleh membawa Bongawan ke tahap lebih tinggi melangkaui retorik, menuju pelaksanaan sebenar,” katanya.
PRN Sabah kali ini menyaksikan persaingan sembilan penjuru di DUN Bongawan, dengan Anifah antara calon paling berpengalaman dalam perebutan kerusi berkenaan.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri dan dikenali atas penglibatannya dalam projek pembangunan strategik negeri serta isu-isu besar seperti MA63.
GRS menjadikan agenda hab minyak dan gas sebagai tonggak manifesto di Bongawan, dengan Anifah menyifatkan kawasan itu sebagai tumpuan baharu yang berpotensi menjadi “pemain industri tenaga” setaraf Bintulu atau Kemaman. -MalayaDailyToday

























































