KUANTAN – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kematian seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).
JPPKK dalam satu kenyataan memaklumkan mendiang, M. Elisa Jonova, 19, merupakan pelajar Program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan di POLISAS.
Menurut JPPKK, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“JPPKK dan POLISAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu proses siasatan serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” jelasnya.
Dalam pada itu, JPPKK menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Jelas JPPKK, pihaknya dan Polisas akan terus memberikan perhatian, sokongan serta bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang.
Justeru, JPPKK menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai turut diminta menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang dalam menghadapi saat yang sukar ini.
“JPPKK dan Polisas akan terus memberikan perhatian, sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang. Sebarang makluman lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, ” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh teman lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada suspek yang juga berusia 19 tahun memaklumkan berlaku pergaduhan antara dia dengan teman wanitanya.-MalayaDailyToday





















































