KUALA LUMPUR – Tragedi kemalangan bas pelancongan yang menimpa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini bukan sekadar insiden lalu lintas biasa. Ia telah mencetuskan kegusaran besar dalam dan luar negara, malah membuka pekung terhadap kelemahan kawal selia keselamatan pengangkutan pelancongan di Malaysia ketika negara sedang menghitung hari menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, menyifatkan insiden tersebut sebagai “tamparan hebat” dan mendesak agar kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan yang sebelum ini berada di bawah kementeriannya, dikembalikan sepenuhnya.
“Pengangkutan pelancongan bukan hanya soal mobiliti, tetapi titik permulaan pengalaman pelawat. Jika sistem ini longgar, imej negara juga terjejas,” tegas dalam kenyataan beliau.
Tiong mendedahkan bahawa beberapa rakan kongsi pelancongan dari ASEAN, China, Jepun, Korea dan Timur Tengah telah menyuarakan kebimbangan mereka susulan insiden itu. Malah, institusi yang dijadual menghantar lebih 500 pelajar pertukaran ke Sabah dari Jun hingga Ogos kini sedang menilai semula rancangan mereka.
Ketidakyakinan ini menurutnya boleh menggugat kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serantau, terutama menjelang kempen pelancongan mega TMM2026.
Pada asalnya, Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594) memberi kuasa penuh kepada MOTAC. Namun, selepas kuasa itu dipindahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kementerian itu kini hanya berkuasa di Labuan, Sabah dan Sarawak; satu senario yang menurut Tiong mencipta ‘kelompangan pengawalseliaan’ dan menghalang pelaksanaan reformasi menyeluruh.
MOTAC sebelum ini mencadangkan beberapa pembaharuan penting termasuk:
- Had masa pemanduan 8 jam sehari
- Dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh
- Ujian air kencing sebelum perjalanan
- Rehat wajib dan pemantauan GPS masa nyata
- Perlindungan insurans mandatori
Namun cadangan-cadangan ini masih gagal dilaksanakan sepenuhnya akibat kekangan kuasa.
“Kami bukan sekadar mempromosi Malaysia, tetapi juga bertanggungjawab menjaga keselamatan pelawat. Jika sistem tidak diperbaiki, kita bukan sahaja gagal menambat hati pelancong malah berisiko kehilangan kepercayaan pasaran global,” kata Tiong.
Merujuk Indeks Kebimbangan Memandu Pelancong Global oleh Scrap Car Comparison UK pada 2023, Malaysia menduduki tangga ke-9 paling membimbangkan di dunia dan ke-2 di ASEAN dari segi persepsi keselamatan pelancongan jalan raya.
“Ini bukan hanya soal statistik kemalangan, tetapi cerminan persepsi negatif terhadap kualiti jalan raya, disiplin trafik dan penguatkuasaan kita,” tambah beliau.
MOTAC menyeru agar semua kementerian, khususnya Kementerian Pengangkutan, memandang serius isu ini dan mempercepatkan proses pemulangan kuasa kawal selia kepada MOTAC sebagaimana termaktub dalam undang-undang.
“Hanya dengan pendekatan holistik dan tanggungjawab bersama, kita dapat mengembalikan keyakinan antarabangsa dan memastikan semua pelawat menikmati pengalaman yang selamat dan menyenangkan di Malaysia,” katanya. -MalayaDailyToday