KUALA LUMPUR – Komposer dan lagenda muzik terkenal India, Thenisai Thendral Deva begitu teruja untuk mengadakan konsert solo beliau di sini bulan depan setelah lebih 30 tahun di negara ini.
Kali terakhir legenda muzik itu beraksi di pentas Malaysia adalah pada 1993 di Stadium Malawati, Shah Alam namun ketika itu dirinya bersama artis-artis lain.
Untuk makluman, Deva sudah menceburi dunia muzik lebih empat dekad dengan menghasilkan muzik untuk lebih 400 buah filem sepanjang era dalam pelbagai bahasa juga adalah seorang figura amat dihormati di India Selatan sepanjang zaman.
Bercakap dalam temuramah eksklusif MalaysiaGazette, kata Deva atau nama sebenarnya, Devanesan Chokkalingam, 72, mendedahkan beliau amat menghargai dan bersyukur kerana dikelilingi peminat ‘luar biasa’ di negara ini.
Malah beliau juga mendedahkan ini bukanlah kali pertama beliau dijemput untuk mengadakan konsert namun kesungguhan Rishi Saravanan & Govind iaitu pengasas City Production telah memenangi hatinya.
“Anda tahu, Malaysia ini sungguh terkenal di India dalam kalangan artis di situ. Semua hendak adakan konsert mereka untuk peminat mereka di sini. Sini, peminat tidak semestinya hanya dalam kalangan komuniti India yang memahami bahasa itu sebaliknya keunikan negara ini sendiri terdiri dalam pelbagai kaum.
“Malah Malaysia juga pada saya adalah lubuk rezeki buat kami, ramai yang terus hidup dan berjaya kerana adanya peminat luar biasa seperti ini. Saya sendiri begitu teruja, walaupun hanya hadir untuk promosi dan bukan konsert, tengoklah penerimaan rakyat. Begitu hebat sekali.
“Saya suka sangat berada di sini bukan untuk hiburkan anda sahaja sebaliknya juga suka aura negara ini. Makanannya juga begitu hebat sekali. Keramahan, sopan santun rakyat di sini juga mencuit hati sanubari saya. Pendek kata, segalanya di sini.
“Terima kasih bumi Malaysia, terima kasih kepada City Production Rishi dan Govind, juga kepada PoketPlay. Nantikan 3 Jun di Arena Axiata, Stadium Bukit Jalil,” katanya.
Dalam pada itu, kata Rishi Saravanan, pihaknya bukan hanya sekadar mahu mengadakan konsert ‘biasa-biasa’ sebaliknya sesuatu yang luar biasa terutamanya kepada yang meminati dunia muzik sekitar era 80 dan 90-an.
“Bukan sahaja saya membesar dengan muzik Deva ini sebaliknya ibu bapa saya sendiri saya meminatinya. Pada kami, itulah juga konsep dan objektif penganjuran konsert ini. Ramai pada era itu mahukan sesuatu yang seperti ini.
“Malah kami juga menyediakan pelbagai inisiatif termasuklah laluan khas untuk golongan warga emas dan OKU ketika konsert ini. Sememangnya keutamaan diberikan untuk golongan ini. Kita tahu ramai yang berusia akan hadir menonton lagenda muzik ini,” ujarnya.
Pastinya konsert ‘Deva Live in KL’ akan mengembalikan nostalgia dan hiburan tiada tolok bandingan bersama kehadiran pelbagai penyanyi dan artis lain yang popular pada 3 Jun ini.
Antara barisan penyanyi terkenal seperti Hariharan, Anuradha Sri Ram, Unni Krishnan, Harini, Sabesh, Murali, Srikanth Deva, SP Charan, Priyanka dan Alka Ajith.
Konsert itu bakal mencipta detik ajaib kepada lebih 15,000 penonton di Malaysia, dengan lagu hit merangkumi pelbagai era.
Jualan tiket untuk persembahan ini agak laris dan penggemar digalakkan untuk membuat tempahan awal, untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila lawati laman web tiket di http://www.ticket2u.com.my/TTDEVA. -MalayaDailyToday
Discussion about this post