PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Matiin yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu.
Perkara tersebut telah disahkan peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin sambil mendedahkan perintah sambung reman itu akan dilanjutkan sehingga Rabu, 12 Jun depan.
Katanya polis memohon tujuh hari namun mahkamah hanya menetapkan enam hari bagi menahan reman pasangan itu.
“Sepatutnya mereka tidak perlu ditahan terlalu lama tetapi polis meminta berdasarkan bahan bukti selama penahanan reman sebelum ini. Diharapkan agar mereka dilepaskan selepas enam hari ini,” katanya kepada media hari ini di lobi mahkamah.
Sebelum ini, pasangan itu telah direman selama tujuh hari sehingga hari ini di Mahkamah Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak autistik tersebut.
Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ditahan di sekitar Puncak Alam pada 1 Jun lalu. -MalayaDailyToday
Discussion about this post