KUALA LUMPUR – Lagi ramai tampil membela isu makanan popular masyarakat Cina, bak kut teh.
Menurut Ahli Parlimen Seputeh, keputusan kerajaan memasukkan menu bak kut teh dalam senarai makanan warisan negara tidak wajar dipertikaikan, bahkan ia disifatkan membawa banyak kelebihan terutama dalam menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Kata pemimpin DAP itu, banyak pihak yang mengkritik tindakan kerajaan menyenaraikan bak kut teh adalah tidak berasas.
“Bak kut teh dicipta warga Cina di Malaysia. Kalau kita tidak buat tuntutan bahawa ia dicipta oleh kita rakyat tempatan, negara jiran kita akan buat tuntutan sama. Jadi pelancong tak sedar, bak kut teh ini asalnya dari Klang.
“Pada pandangan saya, tujuan kita untuk masukkan makanan tertentu dalam senarai makan warisan, termasuk bak kut teh adalah untuk tarik pelancong asing melawat Malaysia, khususnya dari Asia Timur seperti China, Hong Kong, Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Kok berkata, perangkaan terkini dikeluarkan Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia mendedahkan lebih 100,000 pelancong China melawat Malaysia bermula 5 Februari tahun ini sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
“Lebih 5,000 kumpulan pelancong China yang berada di Malaysia dalam tempoh terbabit dan mereka membelanjakan lebih RM1 bilion hingga RM1.5 bilion di negara kita.Malaysia perlu bersaing untuk tarik pelancong China, terutama dengan negara lain di Asia Tenggara,” tegasnya. -MalayaDailyToday