GISB Holdings Sdn. Bhd. ingin menegaskan bahawa sebagai syarikat yang beroperasi di 20 buah negara, kami sentiasa mengutamakan pematuhan terhadap semua undang-undang dan peraturan, selaras dengan prinsip Islam yang kami junjung. Kami memahami tanggungjawab besar yang kami galas dalam memastikan setiap operasi dijalankan mengikut piawaian yang telah ditetapkan, dan kami komited untuk menjunjung tinggi akidah dan amalan Islam yang benar.
Sejak penubuhan kami pada 23 Oktober 2013, GISB Holdings Sdn. Bhd. tidak pernah terlibat atau menyokong mana-mana ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat oleh mana-mana negeri di Malaysia. Sebarang tuduhan atau fitnah yang cuba mengaitkan kami dengan penyelewengan akidah adalah tidak berasas, tidak benar, dan hanya bertujuan untuk merosakkan reputasi kami yang selama ini mematuhi ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Kami menyeru semua pihak untuk menilai dengan adil dan bijaksana serta mengelakkan daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih. GISB Holdings Sdn. Bhd. akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan secara telus dan adil. Kami amat mengalu-alukan panduan dan nasihat dari pihak berkuasa agama dalam usaha kami memperkukuhkan ekonomi halal dan memastikan kami sentiasa berada di landasan yang benar.
Kami juga berterima kasih kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas kenyataan media bertarikh 7 September 2024. Komitmen kami adalah jelas: GISB Holdings Sdn. Bhd. akan terus berusaha memastikan umat Islam di Malaysia sentiasa berada dalam akidah yang murni dan benar.
Kami dengan rendah hati memohon sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia dalam usaha memperkukuhkan ekonomi halal dan membangunkan ekonomi bumiputera. GISB Holdings Sdn. Bhd. berharap agar setiap rakyat Malaysia dapat bersama kami, membangun dan mempertahankan industri halal, serta menilai kami dengan adil dan saksama. Dengan sokongan anda, kami percaya negara kita akan terus aman, makmur, dan diberkati oleh Allah SWT. -MalayaDailyToday
Discussion about this post