KUALA LUMPUR – Lebih tiga juta kenderaan memasuki ibu negara setiap hari dikenal pasti sebagai punca utama kesesakan luar biasa yang berlaku sejak awal Februari, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan dan data Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS), jumlah kemasukan kenderaan antara 1 Februari hingga semalam menunjukkan peningkatan ketara berbanding kebiasaan.
“Lonjakan kemasukan kenderaan ini menjadi faktor utama kepada kesesakan luar biasa yang kita lihat berlaku hampir di semua laluan utama bandar,” katanya.
Fadil berkata, keadaan itu dipengaruhi pergerakan orang ramai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, selain tumpuan ke pusat bandar bagi aktiviti membeli-belah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Menurutnya, kesesakan turut dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk kemalangan kecil yang berlaku secara berantai pada waktu puncak, cuaca yang memperlahankan pergerakan kenderaan serta struktur jalan di beberapa lokasi.
Selain itu, katanya, penganjuran Mesyuarat Majlis Raja-Raja dari 10 hingga 12 Februari lalu turut memberi kesan kepada aliran trafik, khususnya di laluan yang melibatkan pergerakan rasmi dan kawalan keselamatan.
“Gabungan semua faktor ini menyebabkan tempoh kesesakan menjadi lebih panjang, bukan hanya pada waktu puncak pagi dan petang,” katanya.
Fadil berkata, jumlah kenderaan keluar masuk ibu negara dijangka meningkat sehingga enam juta sehari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan kesan kesesakan. -MalayaDailyToday



























































