KUALA LUMPUR – Projek inovasi pencahayaan “I Lite U” yang dilancarkan di Jalan Bukit Bintang malam ini dilihat mampu memperkukuh tarikan pelancongan malam ibu negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan baharu dalam menggabungkan kreativiti bandar dengan ekspresi kebudayaan tempatan.
“Gabungan pencahayaan bandar, persembahan kebudayaan dan elemen kreatif seperti ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelancong, malah mewujudkan kenangan bermakna kepada setiap pengunjung,” katanya.
Majlis pelancaran projek berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran istimewa pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh.

Sebanyak 17 pasukan berarak memeriahkan acara tersebut, diserikan persembahan kebudayaan dan diakhiri pertunjukan bunga api yang menerangi langit Kuala Lumpur, sekali gus menyuntik suasana meriah di kawasan tumpuan pelancong itu.
Tiong berkata projek “I Lite U” diperkenalkan bersempena VM2026 dan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Menurut beliau, pendekatan seumpama itu menampilkan Malaysia sebagai wadah pertemuan pelbagai budaya yang mengharmonikan warisan bernilai tinggi dengan dinamika bandar moden.
“Kita mahu Kuala Lumpur terus hidup pada waktu malam dengan aktiviti berkualiti yang mempamerkan identiti budaya kita dalam suasana kreatif dan kontemporari,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif pencahayaan bandar yang digabungkan dengan aktiviti kebudayaan dapat diteruskan secara konsisten bagi memperkukuh ekosistem pelancongan malam.


Menurut Tiong, usaha memperkasa pelancongan malam bukan sahaja meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi bandar raya, malah memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan komuniti sekitar.
“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, berwarna-warni dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. -MalayaDailyToday


































































