KOTA KINABALU – Pembukaan sulung Oriental Kopi di Sabah Ahad lalu mencetuskan fenomena apabila ratusan pengunjung berpusu-pusu hadir, beratur panjang untuk merasai sendiri pengalaman kopitiam moden yang sarat elemen nostalgia.
Seawal pagi, suasana di cawangan itu sudah dipenuhi orang ramai, mencerminkan keterujaan warga Sabah terhadap kehadiran jenama popular itu buat pertama kali di negeri ini.
Pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan, melahirkan rasa teruja dan penghargaan terhadap sambutan yang disifatkan di luar jangkaan.

“Sokongan daripada warga Sabah sangat luar biasa. Terima kasih kerana menerima kami dengan begitu baik. Ini memberi semangat untuk kami terus membawa yang terbaik kepada semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan di Sabah bukan sekadar peluasan jenama, tetapi langkah penting memperkenalkan pengalaman kopitiam beridentitikan Nanyang kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Cawangan berkenaan turut tampil sebagai antara yang terbesar setakat ini, dengan kapasiti melebihi 170 pelanggan pada satu masa, selain menampilkan pelbagai elemen reka bentuk unik yang menggabungkan budaya tempatan dan sentuhan moden.

Antara tarikan utama termasuk “wall of fame” yang merakam kehadiran tokoh dan selebriti, reka bentuk tingkap berwarna-warni yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia, serta bilik makan peribadi untuk keluarga dan rakan.
Elemen buluh dan tekstur budaya tempatan turut diterapkan bagi mewujudkan suasana kampung dan tropika yang dekat dengan jiwa masyarakat.
Namun, kekuatan sebenar Oriental Kopi tetap terletak pada menu yang pelbagai dan kaya dengan cita rasa tradisional.
Daripada nasi lemak ayam berempah dengan sambal yang padu, mee siam, nasi ayam kari Nanyang hingga chicken hor fun, setiap hidangan membawa identiti tersendiri.

Tidak ketinggalan, rojak segar dan egg tart pelbagai perisa yang lembut serta harum terus menjadi antara pilihan wajib pelanggan.
Minuman kopi klasik yang dibancuh menggunakan campuran biji kopi Arabica, Robusta dan Liberica pula kekal sebagai nadi utama jenama ini, menawarkan rasa pekat dan aroma yang memikat.

Semua hidangan disediakan berasaskan warisan kulinari Nanyang, dengan penekanan terhadap penggunaan bahan segar dan teknik tradisional bagi mengekalkan keaslian rasa.
Bagi pelanggan, kunjungan ke Oriental Kopi bukan sekadar menjamu selera, tetapi satu pengalaman yang menghidupkan kembali memori lama dalam suasana baharu.
Dengan sambutan memberangsangkan ini, jenama itu dilihat berada pada landasan kukuh untuk berkembang di Sabah, termasuk pembukaan cawangan baharu di Suria Sabah dalam masa terdekat.
“Ini baru permulaan,” kata Calvin, ringkas tetapi penuh keyakinan terhadap perjalanan jenama itu di negeri bawah bayu. -MalayaDailyToday



























































