KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, menegaskan sikap dan layanan rakyat Malaysia terhadap pelancong serta orang awam mesti mencerminkan imej negara yang benar-benar mesra dan berperikemanusiaan.
Beliau berkata, pelancaran Kempen Mesra Malaysia di KL Sentral baru-baru ini bukan sekadar inisiatif promosi.
Sebaliknya satu komitmen serius untuk memperbaiki sikap dan budaya perkhidmatan dalam industri pelancongan.
“Industri pelancongan bukan hanya soal angka ketibaan, tetapi juga soal sikap, layanan dan nilai kemanusiaan.
“Terlalu banyak aduan saya terima, termasuk daripada rakyat tempatan sendiri, yang merasakan mereka dilayan dengan kasar atau dipandang rendah,” katanya.

Menurut beliau, budaya “tunjuk kuasa” dalam kalangan petugas barisan hadapan tidak boleh dibiarkan kerana ia memberi kesan langsung kepada imej negara.
“Pegawai mesti sedia berkhidmat, bukan membuat rakyat atau pelancong rasa terpinggir.
“Saya telah minta semua ketua jabatan mengambil perkara ini secara serius. Ini bukan isu kecil, ini soal maruah dan imej Malaysia,” katanya.
Tiong berkata, beliau sendiri mendengar rungutan pelancong ketika sesi turun padang, termasuk kes dimarahi di stesen tren, layanan tidak memuaskan dalam bas hop-on hop-off serta jawapan sinis apabila bertanya.

“Kalau perkara asas seperti ini pun kita gagal uruskan, bagaimana kita mahu yakinkan dunia bahawa Malaysia bersedia menyambut mereka?” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sehingga Januari 2026, seramai 9,498 pemandu pelancong berdaftar di bawah Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia (MOTAC).
Bagi tempoh 2024 hingga 2025, sebanyak 158 siri Kursus Mesra Malaysia telah dilaksanakan melibatkan 4,932 petugas barisan hadapan, namun jumlah itu masih belum mencukupi.
“Kita perlukan perubahan sikap secara menyeluruh, sama ada dalam kerajaan atau sektor swasta. Lima ribu orang masih belum memadai,” katanya.
Tiong menegaskan Kempen Mesra Malaysia bukan bersifat sementara atau hanya untuk tahun 2026, sebaliknya perlu dijadikan budaya berterusan dalam masyarakat.

“Kita mesti mesra bukan sahaja kepada pelancong asing, tetapi juga kepada rakyat sendiri, termasuk penduduk kampung yang datang ke bandar dan pelanggan di pusat beli-belah,” ujarnya.
Beliau turut menghargai sokongan agensi barisan hadapan, namun menegaskan usaha memartabatkan imej negara memerlukan komitmen semua pihak termasuk pengusaha pusat beli-belah, pemandu pelancong, pengendali pengangkutan awam, pegawai imigresen dan polis.
“Imej negara tidak dibina melalui slogan. Ia dibina melalui sikap kita setiap hari.
“Malaysia mesti bukan sahaja indah pada destinasi, tetapi juga indah pada layanan dan hati budi,” katanya. -MalayaDailyToday




























































