MUMBAI – Tokoh perniagaan tersohor dunia khasnya India, bekas pengerusi Tata Group, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun selepas menjalani rawatan intensif di hospital pada Rabu.
Berita pemergiannya dikongsi melalui kenyataan rasmi Tata Group.
Ratan Tata, antara tokoh perniagaan paling berjasa di India memimpin Tata Group selama lebih dua dekad dengan memainkan peranan penting dalam mengembangkan konglomerat itu daripada sebuah syarikat tempatan menjadi firma global.
Tata Group berjaya melakukan pengambilalihan jenama terkemuka antarabangsa, menjadikannya salah satu konglomerat paling berjaya dari India.
Pengambilalihan besar syarikat itu termasuk pembelian syarikat teh British, Tetley, pada tahun 2000 dan syarikat keluli Anglo-Belanda, Corus, pada 2007.
Pada tahun 2008, Tata Motors mengambil alih jenama kereta mewah Jaguar dan Land Rover daripada Ford Motor Co, menambah portfolio syarikat dengan jenama automotif yang terkenal di seluruh dunia.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam ucapan takziahnya, menggambarkan Ratan Tata sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan seorang tokoh yang sangat disegani dalam dunia perniagaan.
“Pemimpin perniagaan yang berwawasan, seorang yang berjiwa penyayang dan manusia yang luar biasa. Saya amat sedih dengan pemergiannya,” tulisnya dalam laman sosial rasminya.
Ratan Tata telah menerima pelbagai anugerah termasuk Padma Vibhushan pada 2008, anugerah kedua tertinggi dalam sektor awam di India, bagi perkhidmatannya yang cemerlang dalam bidang perdagangan dan industri sepanjang hayat beliau. -MalayaDailyToday
Discussion about this post