KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tiga pengundi memfailkan permohonan kebenaran untuk mendapatkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini berhubung tindakan pemberhentian peruntukan RM4 juta untuk kawasan itu tahun ini.
Syed Saddiq yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.
Mereka menuntut baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan dan bencana di parlimen itu.
Ia termasuk keputusan untuk membatalkan akses pemohon pertama terhadap sistem ‘myKHAS’ yang menguruskan permohonan Peruntukan Pembangunan RM2 juta untuk kawasan terbabit.
“Saman sivil saya dan warga Muar ini adalah berkaitan penafian peruntukkan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada orang-orang susah khasnya di Parlimen ini. Peruntukkan RM4 juta yang telah diluluskan kemudian ditarik balik kerana sokongan politik.
“Baki yang ada dalam akaun Muar juga ditarik balik sehingga tinggal ‘kosong’ hanya kerana Muda ambil pendirian tidak sokong kerajaan. Ini adalah politik balas dendam.
“Enam wakil rakyat dari parti lain sokong kerajaan terus dapat peruntukkan mereka sedangkan saya hendak masuk sistem pun dalam Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri disekat.
“Ini adalah satu contoh diskrimanisi yang tidak adil, lebih menyedihkan adalah komuniti Muar yang disekat peruntukan,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Tambah beliau, mereka memfailkan semakan kehakiman kerana mahu menghentikan politik balas dendam dan memastikan mereka yang terkesan, mendapat haknya semula. -MalayaDailyToday
Discussion about this post