SHAH ALAM – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana dibimbangi menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Baginda menyambut baik pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyarankan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Kenyataan itu susulan saranan Perdana Menteri pada 23 Januari lalu serta pertemuan beliau dengan Sultan Selangor pada 8 Februari, sebelum Anwar menyatakan pada 9 Februari bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dijalankan di kawasan yang dibantah penduduk dan berpotensi mencetuskan kontroversi.
Menurut Baginda, penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk, selain mencemarkan sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.
“Cadangan projek di Bukit Tagar yang merupakan kawasan penempatan orang Melayu dan Felda pastinya mengundang bantahan penduduk tempatan,” menurut kenyataan itu.
Baginda turut menegaskan bahawa kawasan berkenaan berhampiran kawasan tadahan air serta sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Walaupun pencemaran boleh dikawal melalui kaedah penternakan moden, Sultan Selangor berpandangan kos yang tinggi serta ketiadaan jaminan sepenuhnya terhadap keselamatan alam sekitar menjadikan pendekatan itu tidak praktikal.
Selain itu, Baginda menyifatkan penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, tidak sesuai di Selangor berikutan kekangan tanah serta nilai hartanah yang tinggi yang lebih wajar dimanfaatkan untuk tujuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Baginda mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di negeri ini.
“Langkah ini bukan sahaja dapat menyelesaikan isu yang berlarutan, malah membolehkan penggunaan tanah Selangor dioptimumkan untuk pembangunan dan penempatan,” menurut kenyataan tersebut.
Baginda turut menegaskan supaya isu penternakan babi dimuktamadkan dan dihentikan sepenuhnya kerana ia menimbulkan keresahan serta boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Semua pihak juga diseru menghormati titah Sultan Selangor dan bersama-sama memelihara perpaduan serta keharmonian di negeri ini. -MalayaDailyToday



























































