KUALA LUMPUR – Wartawan sukan veteran, Haresh Deol, yang diserang dalam kejadian siang hari di Bangsar, berkata beliau masih belum pasti sama ada insiden itu ada kaitan dengan laporan atau komentar yang beliau hasilkan.
“Saya sendiri pun tak pasti. Kalau dapat duduk berbincang dengan mereka (penyerang) pun saya mahu.
“Mungkin mereka tersalah orang itu tentunya tidak adil kepada saya atau mungkin ada yang tidak senang dengan apa yang saya tulis atau suarakan,” katanya kepada media semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
Haresh, yang juga pengasas bersama portal Twentytwo13, hadir ditemani editor pengurusannya, Pearl Lee.
Menyingkap kejadian itu, beliau berkata insiden berlaku selepas selesai menghadiri janji temu makan tengah hari dan sedang berjalan menuju ke keretanya apabila dua lelaki berpakaian serba hitam menghampirinya.
“Mereka datang rapat. Saya terus lari sebab memang tak bijak untuk berdepan dua orang sekaligus,” katanya.
Haresh melarikan diri ke arah laluan pejalan kaki berhampiran Bangsar Village 3 namun terjatuh, dipercayai selepas berlanggar dengan seseorang.
“Ketika itu, mereka terus menyerang saya. Mereka menendang saya dan kemudian berlalu,” ujarnya.
Beliau sempat merakam gambar kedua-dua suspek dan mengejar salah seorang daripada mereka, namun kedua-duanya melarikan diri dengan motosikal.
Menurut Haresh, polis masih menyiasat dan beliau percaya penyerang menggunakan nombor pendaftaran palsu yang tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.
Beliau membuat laporan di pondok polis berhampiran sebelum dirujuk ke IPD Brickfields.
Haresh turut mengucapkan terima kasih atas sokongan orang ramai.
“Terima kasih kepada ratusan panggilan dan mesej di media sosial… ia sangat bermakna. Ini sebahagian daripada risiko dalam kehidupan,” katanya sambil menambah beliau tidak pasti sama ada ada saksi yang sempat membantu kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Haresh, yang mengalami lebam di hidung serta sakit dada ringan, berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) itu memuat naik di platform X bahawa beliau diserang dua lelaki di Bangsar, manakala seorang lagi individu merakamkan video kejadian.
Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam keras serangan itu, menyifatkannya sebagai tindakan ganas yang bertujuan menakutkan seorang wartawan ketika menjalankan tugas profesional.
Geramm menegaskan bahawa tingkah laku sedemikian tidak bertamadun dan bertentangan dengan prinsip kebebasan media dalam sistem demokrasi. -MalayaDailyToday

























































