KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan siasatan awal mendapati serangan terhadap wartawan sukan veteran, Haresh Deol, di Bangsar semalam dipercayai berpunca daripada isu peribadi.
Namun insiden itu terus mengundang kecaman meluas daripada industri media dan ahli Parlimen.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan dijalankan selepas mangsa membuat laporan polis sejurus kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut diperoleh bagi mengenal pasti dua suspek.
“Setakat ini siasatan awal percaya kejadian berpunca daripada isu peribadi.
Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang diteruskan untuk menentukan motif sebenar dan mengesan kedua-dua individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian semalam, Haresh diserang oleh seorang lelaki manakala seorang lagi merakam insiden tersebut. Mangsa mengalami kecederaan ringan.
Dikecam luas oleh organisasi media
Insiden itu mendapat kecaman segera daripada beberapa agensi media, persatuan wartawan dan kesatuan pekerja media yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan membimbangkan keselamatan petugas media.
Mereka menegaskan bahawa perbezaan pandangan atau konflik peribadi tidak boleh dijadikan alasan untuk mencederakan mana-mana wartawan, apatah lagi ketika negara sedang memperkukuh komitmen terhadap kebebasan media.
Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kritik insiden
Di Parlimen hari ini, Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebulat suara mengecam serangan tersebut, menyifatkannya sebagai perkembangan yang boleh menjejaskan kebebasan media jika tidak ditangani tegas.
Beberapa wakil rakyat menegaskan bahawa keselamatan wartawan perlu diberi perhatian serius dan berharap insiden itu tidak mencetuskan rasa takut atau tekanan terhadap pengamal media dalam menjalankan tugas.
Mereka turut menggesa siasatan disegerakan dan tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku bagi menghantar mesej jelas bahawa sebarang bentuk keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima.
Polis minta hentikan spekulasi
Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu perjalanan siasatan dan menggesa individu yang mempunyai maklumat tampil membantu. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. -MalayaDailyToday
























































