Rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya satu klip video yang menunjukkan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar Kedah mempersoalkan kewibawaan DYMM Sultan Selangor dalam memilih Dato’ Menteri Besar pada ceramah Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Taman Selayang Mutiara pada 11 Julai 2023.
Sanusi bersikap biadab apabila menyatakan Sultan Kedah yang hebat tidak akan memilih Dato’ Menteri Besar seperti Dato’ Seri Amirudin Shari. Umum mengetahui bahawa pelantikan Dato’ Menteri Besar adalah kuasa dan budi bicara DYMM Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Namun, yang lebih dikesalkan adalah sehingga kini tidak ada kelibat dan suara berani pimpinan Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor yang menempelak sikap kurang ajar Sanusi. Adakah mereka ini tidak berani bersuara kerana mereka sedar bahawa mereka bergantung penuh pada Sanusi untuk menarik orang datang mendengar ceramah mereka?
Apakah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang sepentas dengan Sanusi pada malam itu tidak ada keberanian untuk menegur individu yang secara terang-terangan memperlekehkan institusi Kesultanan Selangor? Amat malang apabila mantan Dato’ Menteri Besar sendiri seolah olah bersetuju dengan keceluparan Sanusi.
Adakah kerana Azmin Ali tidak berupaya kerana kini dia sedar bukan setakat orang Gombak yang menolak beliau, tetapi seluruh negeri Selangor juga tidak akan memberikan muka lagi kepada pengkhianat seperti beliau? Atau adakah kerana Azmin juga bersikap biadab dengan Sultan Selangor apabila mendahului baginda dalam mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor, maka perbuatan kurang ajar kepada istana dianggap biasa oleh beliau?
Jika Azmin Ali pun tidak berani, apakah yang rakyat Selangor boleh harapkan kepada pimpinan PN Selangor seperti Dr. Afif Bahardin, Dr. Yunus Hairi dan juga Tan Sri Noh Omar? Inikah muka-muka yang boleh rakyat Selangor berikan kepercayaan dalam mengemudi negeri bermaruah seperti Selangor Darul Ehsan?
Justeru, rakyat Selangor menanti menunggu permohonan maaf daripada Sanusi Md. Nor diatas sikap kurang ajar beliau; atau sekurang-kurangnya pimpinan PN Selangor ada keberanian untuk menegur Sanusi, dan memadam aib derhaka yang dilontarkan oleh orang luar kepada wibawa Kesultanan Selangor dan maruah rakyat negeri ini.
SAIFUDDIN BIN SHAFI MUHAMMAD
Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Selangor