KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini bukan sahaja menjadi medan untuk memilih kepimpinan baharu, malah turut mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti yang menjunjung prinsip keadilan dan reformasi sejak penubuhannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang juga menawarkan diri bertanding Naib Presiden menegaskan bahawa pemilihan ini merupakan satu manifestasi kekuatan akar umbi dan semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti.
“Parti kita keluarga kita. Sebagai sebuah parti yang beteraskan pelbagai kaum dan agama, PKR sudah dan telah melalui dan merentasi pelbagai cabaran dan halangan dari dalam dan luar parti. Pemilihan Parti bukanlah satu proses yang baru untuk kita semua.
“PKR adalah parti reformasi yang sentiasa meraikan perbezaan pandangan. Namun, yang paling penting, kita kekal bersatu di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina Malaysia Madani”, kata Ramanan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR menyeru semua anggota dan calon agar menjadikan proses pemilihan ini sebagai medan memperkukuhkan, memperkasakan dan memperkuatkan lagi parti bagi mengharungi cabaran pilihanraya negeri, pilihanraya umum serta memastikan parti meraikan proses demokrasi .
“Pemilihan ini bukan sekadar soal jawatan. Ia adalah tentang hala tuju masa depan PKR. Kita harus pastikan suara rakyat terus menjadi nadi perjuangan parti. Segala-galanya bermula dari suara akar umbi. Suara mereka adalah nadi utama kekutan parti”, tambahnya.
Ramanan turut menzahirkan keyakinan bahawa perpaduan dan kesetiaan terhadap idealisme reformasi akan memperkukuh kedudukan PKR sebagai peneraju dalam landskap politik negara.
“Bersama Presiden Anwar Ibrahim, kita harus mara sebagai satu pasukan. Kita hanya ada satu pasukan dalam parti ini. Perbezaan adalah kekuatan, dan demokrasi dalaman adalah bukti kematangan parti ini,” ujarnya.
Pemilihan PKR tahun ini dilihat sebagai detik penting dalam menentukan saf kepimpinan yang mampu menggalas cabaran masa depan, khususnya dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan. -MalayaDailyToday