KUALA LUMPUR – Dengan bangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pihaknya telah memperuntukkan RM1.9 juta bagi penghasilan lebih 200 video promosi dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, projek itu dibuat melalui tender terbuka dan melibatkan rakaman di pelbagai lokasi bagi memastikan kandungan video menonjolkan keunikan negara.
Video promosi tersebut telah dibahagikan mengikut zon bagi memastikan setiap negeri mendapat liputan yang lebih seimbang.
“Untuk makluman semua, video ini bukan dibuat dalam tempoh singkat. Sejak tahun lepas, kita sudah mula merakam dan menapis mana yang sesuai untuk digunakan. Ia bukan satu tugas mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Video Promosi TMM2026, di sini hari ini.
Tiong berkata, pembahagian video promosi mengikut juga dibuat bagi mengelakkan video menjadi terlalu panjang serta membolehkan promosi lebih fokus kepada keunikan setiap kawasan.

Jelasnya, pihaknya telah menonjolkan keunikan di setiap negeri untuk tarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita.
“Setiap zon akan merangkumi dua hingga tiga negeri, supaya kandungannya lebih relevan kepada pelancong yang ingin mengenali sesuatu destinasi dengan lebih dekat.
“Terdapat negeri yang lebih aktif dalam promosi, manakala ada yang kurang terlibat kerana kekangan tugas lain,” ujarnya.
Namun katanya, pihaknya tetap akan mengadakan sesi libat urus dengan semua negeri bagi memastikan setiap destinasi mendapat perhatian sewajarnya. -MalayaDailyToday