KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan kontraknya pada 22 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Mohd Khalid secara kontrak selepas bersara termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, diperkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam majlis itu, Saifuddin turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara kepada Mohd. Khalid. Upacara diteruskan dengan penandatanganan serta pertukaran dokumen serah terima tugas antara Razarudin dan Mohd. Khalid, termasuk penyerahan tongkat kuasa.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kekal sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
“Kerajaan Madani mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Bin Hj Ismail di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang perkhidmatannya sejak 23 Jun 2023. -MalayaDailyToday