KUALA LUMPUR – Inisiatif Kemahiran India Malaysia (MISI) yang dikendalikan oleh HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus membuktikan bahawa latihan kemahiran dapat membuka peluang pekerjaan serta menjamin pendapatan stabil. HRD Corp menegaskan bahawa program ini bukan sahaja membantu peserta memperoleh pekerjaan, malah membina masa depan yang lebih cerah melalui latihan yang selaras dengan keperluan industri.
Salah satu kejayaan yang dicatatkan adalah kisah Kumaresan, seorang graduan berusia 18 tahun daripada program Kemahiran Seni Kulinari – Makanan Barat MISI di Perai, Pulau Pinang. Berasal daripada latar belakang sederhana, Kumaresan tidak pernah menyangka bahawa minatnya dalam bidang masakan boleh menjamin pekerjaan tetap. Namun, selepas menamatkan latihan intensif lima hari, beliau berjaya mendapat pekerjaan di sebuah restoran ternama dengan gaji yang melebihi jangkaannya.
“Saya sangat bersyukur dengan inisiatif Kerajaan Madani ini. Saya tidak pernah terfikir boleh memperoleh pendapatan sebanyak ini pada usia 18 tahun. Sekarang saya dapat membantu keluarga dengan gaji yang saya terima,” kata Kumaresan.
Menurut HRD Corp, kejayaan Kumaresan membuktikan keberkesanan latihan berasaskan kompetensi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Ketika ramai belia masih mencari pekerjaan, kisah kejayaan seperti ini menunjukkan bahawa dengan kemahiran yang tepat, peluang kerjaya lebih mudah dicapai,” menurut HRD Corp dalam satu kenyataan.
MISI bukan sahaja memberi manfaat kepada lepasan sekolah, tetapi turut membantu suri rumah, pemilik kedai makan, serta usahawan yang ingin menambah atau memperbaharui kemahiran mereka. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada YB Dato’ Seri Sundarajoo Somu, EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Perai, yang telah menghadiri sesi latihan di kawasannya. Beliau turut menghargai usaha YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, dalam memperkasakan masyarakat India Malaysia melalui program pembangunan kemahiran.

Sejak dilancarkan pada September 2024, MISI telah melaksanakan lebih 100 program latihan dan memberi manfaat kepada lebih 6,000 peserta. Program ini diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam wawancara khas sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2024, dengan jaminan dana sebanyak RM30 juta daripada KESUMA, MITRA, dan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh inisiatif ini.

HRD Corp memaklumkan bahawa MISI direka khas untuk memenuhi permintaan industri, dengan latihan merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Pertanian Pintar, Keselamatan Siber, Teknologi Dron, Teknologi Retort, Penyelenggaraan Superbike dan EV, Sains Data, serta banyak lagi.
“Dengan setiap kisah kejayaan seperti Kumaresan, MISI terus mengubah kehidupan dan membuktikan bahawa dengan latihan dan peluang yang tepat, masa depan yang lebih cerah dapat dibina,” tambah HRD Corp dalam kenyataan itu. -MalayaDailyToday