KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyelar tindakan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng yang menuduh dua wakil rakyat parti itu cuba memboikot undian Rang Undang-undang (RUU) Mavcom (Pembubaran) 2024 semalam.
Kata Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Itam, ada 66 Ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi tetapi sangat pelik apabila DAP hanya pertikai ketidakhadiran dua Ahli Parlimen MCA sahaja.
Kata Ka Siong, ikut logik, andai dua Ahli Parlimen daripada MCA perlu dipindahkan ke blok pembangkang, maka adakah tempat duduk mereka yang tidak undi semalam antaranya termasuk YAB Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri juga perlu dipindahkan.
“Ini juga termasuklah wakil rakyat DAP seperti Nga Kor Ming, Chow Kuan Yeow juga perlu pindah? Lim Lip Eng ini perlu waras sebelum keluar komen.
“Jangan sampai nanti orang kata YB Kepong ni seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,” katanya dalam satu hantar di Facebook miliknya.
Difahamkan ada sembilan lagi wakil kerajaan yang tidak menyertai proses undian RUU itu.
Mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof; Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak); Aminuddin Harun (Port Dickson); Chow Kon Yeow (Batu Kawan); dan Amirudin Shari (Gombak).
Lip Eng mencadangkan agar kerusi dua ahli Parlimen MCA dipindahkan ke blok pembangkang apabila tidak berpuas hati kerana mendakwa dengan sengaja tidak mengundi sewaktu undian.
Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang ditubuhkan lapan tahun lalu. -MalayaDailyToday
Discussion about this post