ALASKA – Di Utqiagvik, bandar paling utara di Amerika Syarikat penduduknya kini memasuki fasa luar biasa yang hanya dialami di kawasan kutub: 66 hari tanpa matahari.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘polar night’ apabila matahari langsung tidak muncul di ufuk, bermula pada 18 November dan hanya akan kembali menyapa pada 23 Januari tahun hadapan.
Semuanya berpunca daripada condongan paksi Bumi, yang menyebabkan kawasan dalam Lingkaran Artik berada dalam kegelapan panjang sepanjang musim sejuk.
Walaupun tidak tenggelam dalam kelam sepenuhnya Utqiagvik masih menerima sedikit cahaya redup yang dipanggil civil twilight setiap hari tempoh panjang tanpa sinar matahari ini boleh menguji emosi, kesihatan mental dan juga tahap tenaga penduduk, terutama disebabkan kekurangan vitamin D.
Namun, alam sentiasa punya keseimbangan. Jika musim sejuk membawa malam tanpa hujung, musim panas pula memberi hadiah luar biasa: 24 jam cahaya matahari tanpa henti, fenomena yang dikenali sebagai “midnight sun”, dari pertengahan Mei hingga pertengahan Ogos.
Secara purata, semua tempat di muka bumi sebenarnya menerima jumlah cahaya matahari tahunan yang hampir sama cuma pengagihannya berbeza mengikut musim.
Bagi kita, bayangan hidup berminggu-minggu tanpa matahari mungkin terasa menyesakkan. Tetapi bagi masyarakat Utqiagvik, ini hanyalah sebahagian daripada ritma hidup di atas Lingkaran Artik tempat di mana langit mungkin gelap, tetapi komuniti dan keindahan alam terus bersinar.
Sumber: Cappucci, M. (18 November). “Polar night arrives in Utqiagvik, Alaska, bringing 66 days of darkness.” The Washington Post. -MalayaDailyToday


























































