KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Mkini Group Sdn Bhd membuat laporan polis susulan siasatan dalaman yang mendapati RM3 juta daripada anak syarikatnya telah dialihkan kepada entiti pihak ketiga yang disyaki menjalankan skim pelaburan tidak berlesen.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di portal berita, lembaga pengarah memaklumkan, pemindahan dana berkenaan berlaku antara Mac 2023 dan Mac 2024 ‘dimungkinkan’ oleh bekas kakitangan kanan Malaysiakini.
Menurut kenyataan itu, penyelewengan dana terbabit tidak dikesan kerana akaun syarikat yang diaudit bagi tahun 2023 dan 2024 menunjukkan dana tersebut berada dalam simpanan tetap di sebuah bank berlesen.
Lembaga pengarah yang menjalankan siasatan dengan bantuan peguam bebas dan perunding kewangan memaklumkan wakil mereka telah membuat laporan polis dan pengurusan serta kakitangan Malaysiakini telah dimaklumkan mengenai kesalahan itu, dengan langkah pemulihan sedang dijalankan.
Pengasas bersama Steven Gan dan Premesh Chandran, yang merupakan pengarah bukan eksekutif Mkini Group, menyuarakan kekecewaan dan penyesalan mendalam terhadap insiden itu.
“Kami amat terkejut dengan tindakan tidak sah ini,” kata Gan, bekas ketua pengarang Malaysiakini.
“Dikhianati oleh sebahagian daripada kakitangan yang paling dipercayai adalah tamparan hebat. Kami bertekad untuk memulihkan dana berkenaan serta memperketat pemantauan bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.
Sementara itu, Premesh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini, berkata walaupun pemindahan dana itu menjejaskan kewangan syarikat, operasi teras Malaysiakini kekal tidak terganggu.
“Dana ini dikumpul oleh Malaysiakini sepanjang dekad lalu dan merupakan sebahagian besar rizab kami. Pemindahan oleh bekas rakan sekerja ini menjejaskan daya tahan kami dan mengalih fokus daripada misi kami untuk menyuarakan kebenaran,” katanya.
Lembaga pengarah memaklumkan akan memberikan maklumat lanjut apabila tersedia, tertakluk kepada batasan siasatan dan prosiding undang-undang yang sedang berjalan. -BERNAMA
































































