KUALA LUMPUR – Kepelbagaian makanan Malaysia bukan sekadar tarikan rasa, tetapi cerminan identiti budaya dan warisan negara yang perlu diraikan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Rasa Malaysia bersama jenama tempatan terkenal, Oriental Kopi, hari ini.
Menurutnya, pelancong yang datang ke Malaysia bukan sahaja menikmati kelazatan hidangan tempatan, tetapi turut merasai nilai budaya dan sejarah yang terkandung di sebaliknya.
“Ramai rakan dari luar negara memberitahu saya bahawa kekayaan warisan inilah yang menjadikan pengalaman menikmati makanan di Malaysia begitu istimewa — daripada char kuey teow Pulau Pinang, mee kampua Sarawak hinggalah keunikan cita rasa Johor,” katanya.

Tiong berkata keunikan masakan Malaysia bukan hanya terletak pada keenakan rasa, tetapi pada nilai kepelbagaian yang membentuknya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memperkukuh usaha memelihara nilai budaya dalam masakan tempatan sambil terus mempromosi dan meraikannya sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.
“Tradisi dan kreativiti perlu bergerak seiring. Banyak hidangan tradisional boleh diinovasikan termasuk versi halal dan berasaskan makanan laut tanpa mengorbankan keasliannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar makanan tidak dijadikan polemik yang tidak perlu sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Kepelbagaian masakan kita bukan untuk dipolitikkan. Ia untuk diraikan. Ia menyatukan kita di satu meja dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata isu yang mencetuskan perpecahan bukan sahaja mencemarkan gambaran sebenar budaya Malaysia, malah boleh menjejaskan sektor pelancongan serta imej negara.
Tiong menegaskan kekuatan Malaysia sejak dahulu terletak pada kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang menjadi identiti utama negara.
“Toleransi dan saling menghormati adalah asas keharmonian kita. Namun saya sedih apabila ada pelawat berkongsi bahawa mereka tidak lagi merasai suasana harmoni seperti dahulu. Ini satu peringatan untuk kita memperbaiki diri,” katanya.
Beliau berkata usaha mempromosikan pelancongan tidak boleh terhad kepada produk semata-mata, tetapi perlu disertai dengan pemerkasaan nilai murni yang menjadi jiwa Malaysia.
Menurutnya, Kempen Rasa Malaysia bukan sekadar inisiatif menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, tetapi satu usaha jangka panjang untuk menyokong ekonomi, memberi manfaat kepada komuniti dan membuka peluang penyertaan kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang.

“Jika dilaksanakan dengan betul, semua pihak akan menikmati limpahan manfaatnya. Makanan, kepelbagaian dan perpaduan adalah jiwa Malaysia yang harus terus kita pertahankan,” katanya. -MalayaDailyToday


































































